Wednesday 9 January 2013

FUNGSI BAHASA MELAYU


Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa ilmu.
Bahasa ilmu adalah bahasa yang digunakan untuk mengungkap ilmu dan memiliki ciri-ciri yang tersendiri. Perkara 152 Perlembagaan Negara telah menjamin dan mengiktiraf bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu. Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai peneguhnya iaitu memberi halatuju kepada Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu apabila wujudnya Akta Pelajaran 1961. Antaranya menyebut mengenai peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dimana bahasa kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama dalam institusi pendidikan. Menurut ensiklopedia keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ialah peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti fizik, kimia, kejuruteraan, perubatan, ekonomi, undang-undang, kesusasteraan, dan agama. Bahasa ilmu ialah bahasa yang mampu menjadi perantaraan bagi penyampaian ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat tinggi. Bahasa Melayu harus boleh berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal baru dalam aneka bidang ilmu moden. Ciri-ciri yang terdapat dalam Bahasa Melayu itu yang menjadikannya sebagai bahasa wahana ilmu kerana kemantapan yang ada memudahkan ia menyerap pelbagai budaya ilmu.. Oleh yang demikian, Bahasa Melayu mampu merealisasikan gagasan 1Malaysia melalui bahasa yang boleh membawa kemajuan dengan semangat semua kaum bersama-sama berusaha dan berjaya.
Di dalam institusi pendidikan pula, Bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam membentuk insan yang cemerlang dan ada jati diri sebagai rakyat Malaysia yang berbudi bahasa, bersopan-santun serta saling hormat-menghormati dengan tidak hanya berkomunikasi bersama satu-satu kaum tertentu sahaja. Ini sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang dirancang bagi mewujudkan rasa hormat-menghormati antara semua kaum termasuk menghormati adat resam serta budaya kaum lain. Rasa hormat ini juga menuntut kita tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentang kaum lain dan juga tidak mempersoalkan mana-mana peruntukan undang-undang yang menyentuh sensitiviti kaum. 

Tuesday 8 January 2013

RPH


ii) Rancangan Pengajaran.
Tahun:            2 Bitara
Masa:              8.00-900 pagi.
Bil Murid:       15
Tema:             Kebersihan
Tajuk:             Kebersihan Diri
Fokus Utama:
1. Standard Kandungan…4.4 (Melapazkan dan memahami puisi dengan intonasi yang betul menggunakan bahasa yang indah secara didik hibur)
2. Standard Pembelajaran…4.4.1(Melapazkan pantun 2 kerat dengan intonasi yang betul secara didik hibur)
Objektif: Pada akhir P&P ini murid dapat:
            i)   Melapazkan pantun 2 kerat dengan intonasi yang betul
            ii) Membaca baris baris pantun dengan lancer, sebutan yang jelas dan intonasi yang
                betul.
Pengisian Kurikulum: i) Ilmu: Menjaga Kebersihan diri
                                    ii)KBT:  Kecerdasan Pelbagai-Verbal Linguistik
                                       BBC:  Mencatat Nota
Sistem Bahasa:           Tatabahasa: Kata Nama Am
Media              :           Pantun


MAKRO PENGAJARAN


PENGENALAN
            Saya telah menjalankan makro pengajaran yang bertajuk “Kebersihan” berdasarkan pantun 2 kerat dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia Sk. Bangau-Bangau Tahun 2. Kelas saya adalah kelas Tahun 2 Marikh dan jumlah murid adalah sebanyak 15 orang. Makro pengajaran ini dijalankan selama 30 minit.

KEKUATAN
Selepas saya menjalankan makro pengajaran ini, saya dapati bahawa kekuatan dan kelebihan saya adalah murid faham serta berminat dalam topik tersebut. Berdasarkan tajuk yang saya ajar ini, saya dapati pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan dengan menggunakan kaedah menunjukkan bersoaljawab agak berkesan. Murid dapat menamakan jenis-jenis cara menjaga kesihatan berdasarkan pantun 2 kerat yang diperdengarkan. Malah murid juga dapat menjelaskan tentang cara membersihkan diri berdasarkan gambar dalam lembaran kerja yang ditunjukkan. Melalui pembelajaran hari ini, murid bukan setakat dapat menamakan cara menjaga kebersihan  malah murid dapat membaca pantun mengikut sebutan dan intonasi yang betul.
 Sebelum ini, saya dapati bahawa tahap kefahaman murid dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia adalah agak kurang berbanding dengan subjek-subjek lain. Walaupun murid-murid faham serta tahu cara-cara membersihkan diri yang mereka tahu tetapi apabila minta mereka nyatakan dalam Bahasa Malaysia, ini agak sukar bagi mereka untuk meluahkan.  Tetapi apa yang saya perhatikan selepas pengajaran dan pembelajaran pada hari ini, saya dapati bahawa murid-murid bukan sekadar tahu mengeja malah dapat bercerita tentang cara menjaga kebersihan mereka apabila dewasa nanti. Walaupun perkataan atau ayat yang mereka luahkan agak singkat tetapi melalui pengajaran dan pembelajaran pada hari ini, sekurang-kurangnya mereka dapat berkomunikasi bersama guru dengan betul dari segi tatabahasa serta laras bahasa dan bukannya sekadar tahu bahasa ibunda mereka sahaja.
 Oleh itu, saya menggunakan kaedah bersoaljawab untuk menjelaskan cara menjaga kebersihan diri  yang hendak disampaikan serta meminta mereka membaca pantun 2 kerat yang saya tunjukkan di papan putih.
Selain itu, saya juga minta murid membaca pantun mengikut intonasi dan bertanya pada k tentang tentang maksud pantun tersebut. Melalui cara ini, mereka bukan sekadar dapat mengetahui cara menjaga kebersihan malah dapat berkomunikasi dengan guru. Justeru mengeratkan hubungan di antara guru dan murid.

KELEMAHAN
Walaupun begitu, saya mengetahui bahawa terdapat kelemahan dalam makro pengajaran saya ini. Suara saya hendaklah lebih lantang dan jelas supaya dapat didengar oleh semua murid.
Masalah lain yang saya hadapi ialah semasa saya meminta murid untuk membaca pantun, sebutan adalah tidak jelas dan masih teragak-agak untuk menuturkan setiap bait-bait pantun tersebut. Ada segelintir murid yang masih tidak berani bertanya dan ada juga segelintir murid yang tidak jelas tentang maksud pantun yang diperdengarkan. Ini menunjukkan murid masih kurang berkeyakinan dalam mengikuti aktiviti yang dijalankan.

LANGKAH MENGATASI
            Untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran saya, terdapat beberapa langkah mengatasi yang hendak dilakukan selepas saya menjalankan refleksi. Sepatutnya saya hendaklah mencuba sedaya upaya untuk merangsangkan minat pembelajaran murid-murid sepanjang pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Saya wajar berusaha mahir dalam pendekatan sosial dan psikologi supaya lebih memahami anak murid saya.
Selain itu, saya juga akan lebih kerap minta murid bentangkan hasil kerja di hadapan kelas, saya percaya dengan cara ini murid akan lebih berani lagi dan tidak akan berasa malu-malu lagi pada masa hadapan apabila berhadapan dengan orang.


KAJIAN TINDAKAN


iii) Kajian Tindakan.
01.   ABSTRAK
Kajian ini dilaksanakan bertujuan mengkaji punca masalah tulisan tidak kemas seorang murid pemulihan yang bernama Aminah. Beliau merupakan seorang murid yang dimasukkan ke kelas Pemulihan Khas disebabkan tulisan yang tidak kemas. Kajian ini dijalankan berdasarkan kajian terdahulu yang dilaksanakan oleh Levine (1987) serta Pressey dan Pressey (1926). Saya telah melaksanakan beberapa tindakan iaitu mengajar cara memegang pensel dengan betul, menulis dengan postur badan yang betul, serta menyediakan banyak latihan menulis.
Saya menfokuskan bentuk tulisan yang betul dan kemas. Tinjauan awal yang dibuat melalui pengumpulan data menunjukkan bahawa murid kurang peka terhadap kepentingan bentuk  semasa menulis sesuatu ayat. Oleh itu, saya menggunakan sistem tiga garisan untuk mensifarkan kesalahan bentuk semasa menulis. Saya dengan bantuan AJK telah merancang beberapa langkah. Pelaksanaan langkah-langkah tersebut dapat memberikan satu keputusan yang baik berbanding sebelumnya. Murid-murid tersebut juga menunjukkan sikap lebih positif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

02.  LATAR BELAKANG KAJIAN

            Masalah tulisan yang tidak kemas bagi seseorang murid akan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Saya seorang guru Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan Bangau-Bangau, Semporna. Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah Gred B yang  mempunyai kira-kira 450 orang murid. Terdapat seramai 12 orang guru di sekolah ini. Sekolah ini mempunyai 7 buah kelas biasa.
Pada awal tahun ini, saya telah berpeluang untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu untuk kelas Tahun 1. Bagaimanapun untuk kelas Bahasa Melayu Tahun 1, masalah yang menjadi fokus saya adalah masalah tulisan murid yang tidak kemas. Walaupun kebanyakan murid telah menguasai kemahiran membaca dengan baik. Jumlah murid yang agak ramai sehingga mencecah 25 orang dalam sekelas menyebabkan saya tidak dapat memberikan tumpuan kepada setiap murid. Murid-murid yang tidak mendapat tumpuan inilah yang kadang-kadang keciciran di dalam proses pembelajaran.
Dalam kajian ini, saya menengahkan masalah yang dihadapi oleh beberapa orang murid dari kelas Tahun 1. Masalah yang dihadapi oleh kelas tersebut ialah tulisan cakar ayam. Tulisan mereka buruk, bengkang bengkok, tidak menulis mengikut garisan yang terdapat pada buku latihan dan saiz antara perkataan tidak sama. Tulisan mereka juga sukar untuk dibaca. Antara kesilapan gaya penulisan yang sering didapati dalam kalangan murid ini ialah cara memegang pensel yang tidak betul, kedudukan tangan dan buku yang tidak betul, saiz antara perkataan yang tidak konsisten, ruang antara perkataan yang tidak tepat dan tidak dapat menulis perkataan dengan betul.
Kajian tindakan yang telah dijalankan adalah bertujuan untuk membantu murid dalam kelas Tahun 1, menulis dengan teratur dan kemas. Kaedah ansur maju merupakan kaedah murid mempelajari kemahiran menulis secara beransur-ansur yang bermula dengan langkah paling asas dan kemudian beralih kepada langkah yang lebih sukar sehingga mereka menguasai kemahiran menulis. Beberapa instrumen seperti soalan temu bual, borang soal selidik, borang taburan keputusan murid dan borang pemerhatian telah digunakan untuk mengumpul data kajian. Data kemudian dianalisis menggunakan peratus dan bilangan. Secara keseluruhannya, kajian mencadangkan kaedah ansur maju mempunyai kesan dalam membaiki tulisan murid. Kebanyakan murid berpandangan kaedah ansur maju yang dipilih sesuai dalam membaiki tulisan tulisan mereka agar menjadi kemas dan teratur.

03.  Fokus kajian

Kajian ini bermula apabila saya memulakan latihan mengajar di kelas Tahun 1. Terdapat lima orang murid dari kelas Tahun 1 yang bermasalah tulisan mata pelajaran Bahasa Melayu. Saya mendapati murid-murid ini sebenarnya tidak bermasalah dalam bacaan, tetapi bermasalah dengan tulisan. Murid-murid ini boleh dikategorikan sebagai murid berpotensi kerana kesemua mereka boleh membaca dengan baik. Tulisan yang tidak kemas menyukarkan guru-guru lain untuk menyemak hasil kerja murid- murid ini. Salah satu keperluan akademik di sekolah ialah kebolehan menulis. Kebolehan menulis diperlukan untuk semua mata pelajaran di sekolah. Guru sangat kenal akan tulisan buruk, dan selalunya marah kerana terpaksa memeriksa beratus-ratus halaman tulisan dalam setahun yang susah hendak dibaca.

      04.  Tinjauan awal masalah

Dengan itu, saya merancang beberapa tindakan bagi membantu murid-murid ini untuk memperbaiki tulisan mereka. Saya merangka beberapa tindakan untuk murid-murid ini berdasarkan pembacaan saya mengenai cara memperbaiki tulisan melalui kajian-kajian terdahulu. Matlamat utama saya ialah, di akhir tahun, murid-murid ini dapat memperbaiki tulisan mereka. Untuk kajian ini, saya memberi fokus kepada murid yang bernama Aminah.
Aminah, seorang murid kelas Tahun 2, petah bercakap dan bijak. Dia amat aktif semasa proses p&p berlangsung. Aminah juga mempunyai keyakinan diri yang sangat tinggi. Semasa dalam kelas, dia suka bertanya dan menjawab soalan. Di samping itu juga, saya dapati dia amat suka membaca. Kebanyakan masa di dalam kelas pemulihan, Aminah  amat suka membaca buku-buku cerita yang terdapat pada rak bacaan. Pada pendapat saya, Aminah adalah murid yang sangat bijak dan amat rugi apabila beliau dihantar ke kelas pemulihan kerana tulisannya yang tidak kemas. Oleh kerana itu, saya bertekad untuk membantunya memperbaiki tulisannya, agar dia dapat kembali belajar di dalam kelas biasa.

Tinjauan awal saya mendapati cara Aminah memegang pensel adalah salah. Menurut Levin (1987), cara memegang alat tulis akan mempengaruhi bentuk tulisan yang dihasilkan oleh murid. Kelemahan dalam motor halus menyebabkan kanak-kanak menghadapi kesukaran memegang pensel, memasang butang baju dan memasang manik. Kanak-kanak yang menghadapi dyspraxia motor halus menunjukkan kelemahan dalam koordinasi motor. Masalah dyspraxia motor halus menyebabkan ketidaktentuan cengkaman pada alat tulis (Levine, 1987). Kanak-kanak ini tidak berupaya mengawal saraf ketika memegang dan menggerakkan pensel secara stabil. Kanakkanak yang tidak menggunakan motor halus ketika menulis menyebabkan
cengkaman pensel yang tidak kuat. Mereka sebenarnya menggunakan lengan dan pergelangan tangan, dan bukan jari untuk menulis. Cengkaman yang terlalu kuat pada alat tulis dan jari yang terlalu dekat dengan mata pensel menimbulkan kesakitan kepada kanak-kanak. Mengikut Levine (1987), semua ini adalah faktor yang menyumbang kepada pembentukan huruf yang kurang cantik.
Pemerhatian saya mendapati Aminah sering menggenggam keseluruhan penselnya. Teknik memegang pensel secara menggenggam ini menyebabkan Aminah merasa sakit pada jarinya. Selain itu, Aminah  juga mengalami kesukaran untuk mengerakkan jarinya untuk membentuk huruf yang dia kehendaki. Levine (1987) menegaskan cara kanak-kanak memegang pensel dengan cengkaman yang kurang kemas menyebabkan pergerakan pensel menjadi tidak licin. Kanak-kanak yang mempunyai masalah kinestetik biasanya mencengkam pensel secara kuat dengan meletakkan ibu jari di atas jari telunjuk dan jari hantu ketika memegang alat tulis. Kanak-kanak begini tidak gemar menulis kerana aktiviti ini menjadi pengalaman yang menyakitkan bagi mereka.
Di samping itu, saya mendapati Aminah suka menggunakan pensel yang amat pendek menyebabkan dia selalu tunduk ketika menulis. Menurut Norhadi Sarponen (2009), penggunaan pensel yang kurang sesuai juga merupakan salah satu punca murid melakukan banyak kesilapan semasa menulis. Postur badan begini menyebabkan dia merasa tidak selesa semasa menulis.
Sassoon (1993) pula mendapati guru kurang memberi penekanan kepada pengajaran menulis di kelas khususnya cara memegang alat tulis dengan betul, menulis huruf mengikut pergerakan yang betul, menentukan saiz huruf dan menentukan ruang antara huruf dan perkataan. Kanak-kanak sepatutnya didedahkan kepada kaedah menulis yang betul pada peringkat awal lagi supaya kanak-kanak minat untuk melahirkan idea melalui tulisan yang cantik dan penuh dengan kesenian. Tulisan yang cantik dan mudah dibaca adalah aset yang sangat berharga dalam kehidupan seseorang. Murid-murid sekolah didapati boleh menulis tetapi tidak menulis dengan cara yang betul. Dalam mengejar celik huruf, guru-guru kadang-kadang kurang memberi perhatian kepada pengajaran membentuk huruf mengikut pergerakan yang betul.

05.  Objektif Kajian
Kajian ini dilakukan untuk memastikan Aminah memegang pensel dengan betul semasa menulis; dan memperbaiki tulisan Aminah agar menjadi lebih kemas dan boleh dibaca melalui latihan menulis yang kerap.

06.  Persoalan kajian
Kajian ini dijalankan untuk menjawab persoalan kajian berikut.
· Adakah wujud hubungan cara memegang pensel (dyspraxia) Aminah
dengan kekemasan tulisannya?
· Bagaimanakah latihan menulis yang kerap membantu murid memegang
pensel dengan betul serta mempertingkatkan kekemasan tulisan Aminah ?

07.  Perancangan Dan Pelaksanaan Tindakan
7.1 Perancangan tindakan
Bagi mencapai objektif kajian ini, saya telah merancang beberapa aktiviti bimbingan untuk Aminah . Pengajaran pemulihan tulisan bagi murid-murid sekolah rendah adalah berdasarkan pengajaran tulisan yang betul dan kukuh. Peringkat pengajaran menulis terbahagi kepada tiga iaitu peringkat pratulisan, peringkat mekanis dan peringkat untuk pelahiran. Peringkat pertama iaitu pratulisan adalah tempoh masa murid-murid disediakan dengan aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf-huruf dengan kemas dan betul. Dalam tempoh masa ini, latihan otot-otot, tangan dan jari serta koordinasi tangan dan mata dilaksanakan dalam kalangan murid dari awal-awal lagi.
Bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran membentuk lambang-lambang yang kemas dan jelas, pelajaran tulisan yang dirancang haruslah sistematik, bertitik-tolak daripada aktiviti-aktiviti pratulisan yang berbentuk bebas.
Latihan-latihan pratulisan menitikberatkan beberapa perkara seperti melakukan latihan-latihan pergerakan tangan terlebih dahulu seperti mengerakkan jari di atas garisan atau corak yang dilakarkan pada kertas. Tujuannya ialah supaya murid-murid dapat menguasai gerak tangan yang bebas untuk menulis dengan selesa dan sempurna. Latihan seperti membentuk bulatan di udara, meja, lantai, dan di atas pasir atau rumput tanpa mengunakan alat tulis seperti melukis bulatan besar dan kecil juga boleh dilakukan.
Di samping itu, murid-murid boleh melakukan latihan pergerakan jari dengan memainkan jari, menekan jari, mengoyangkan tangan, meramas-ramas jari dan sebagainya. Setelah mahir dalam aktiviti- aktiviti tersebut, murid-murid boleh melakukan latihan-latihan pergerakan mata dan seterusnya melakukan latihan-latihan yang melibatkan koordinasi tangan dan mata. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti latihan mengikut garisan-garisan rajah atau gambar dari kiri ke kanan, latihan membentuk garisan lurus, latihan mewarnakan rajah berbentuk mudah dari kiri ke kanan atau dari kanan ke kiri dan seterusnya membentuk corak-corak gabungan antara bulatan dan garis lurus secara bebas. Bahasa bertulis memerlukan perhubungan dengan bahasa dalam diri penulis, atau dalam fikirannya. Perihal menghubungkan bahasa lisan dengan bahasa fikiran adalah amat sukar. Dengan sebab ini, maka usaha pengajaran permulaan dalam penulisan biasanya amatlah susah, walaupun murid tersebut tiada kesusahan membentuk huruf. Seperti pengajaran bahasa juga, penulisan adalah lebih mudah dipelajari ketika murid masih kanak-kanak lagi, seperti pada umur empat tahun setengah. Latihan permulaan untuk kanak-kanak ini haruslah menggunakan pensel, atau krayon. Untuk kes Aminah , saya menggunakan langkah-langkah ini bagi membantunya menulis dengan betul. Oleh kerana Aminah adalah murid yang cepat belajar, saya hanya perlu menerangkan cara-cara memegang pensel ini sekali sahaja dan dia dapat melakukannya dengan baik. Beberapa langkah-langkah yang telah dijalnkan:

08.  LANGKAH YANG DIJALANKAN
            Tindakan dijalankan berdasarkan analisis yang dibuat. Oleh itu, langkah pertama yang dijalankan ialah memberi motivasi kepada murid terbabit bahawa mereka juga boleh berjaya  sekiranya ada kesungguhan. Murid lemah selalunya tidak pernah mendapat pujian. Maka adalah penting untuk guru memuji murid berkenaan walaupun hanya betul penulisan bentuk huruf pada permulaan ayat sahaja.

09.  AJK Kajian Tindakan merancangkan beberapa aktiviti untuk mengatasi masalah ini seperti:
i.              Bentuk huruf salah di warnakan
ii.             Menulis di atas huruf yang dicetak
iii.            Latihan melukis
iv.           Cara duduk
v.            Menulis di atas pasir
vi.           Latihan kordinasi
vii.          Menconteng
viii.         Melukis bentuk
ix.           Melukis dan mewarna bentuk geometri
x.            System tiga garisan
xi.           Menulis perkataan dari bawah ke atas



10.  PELAKSANAAN TINDAKAN DAN PEMERHATIAN/ PENILAIAN
10.1  Pelaksanaan Aktiviti
            Perancangan ini akan dilaksanakan setiap kali mata pelajaran Bahasa Malaysia bermula dari bulan Januari.

Langkah 1
Pada mulanya, saya telah menjadi role model kepada murid. Saya menunjukkan kepada mereka cara memegang pensel yang betul. Saya kemudian melatih mereka memegang pensel mengikut peraturan-peraturan yang tertentu.

Langkah 2.
Menulis huruf dengan menulis di atas tanah. Saya membawa murid menulis di tanah yang rata.

Langkah 3.
Mewarna kotak-kotak dengan menunjuk cara gengaman warna pensel ditangan

Langkah 4.
Menulis dalam buku 3 garisan

TATABAHASA


1.1:  Definisi tatabahasa
Tatabahasa ialah bidang yang menumpukan perhatian terhadap pembentukan kata dan proses pembinaan ayat sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Ayat pula terdiri daripada rentetan perkataan yang bermakna. Perkataan dibina oleh gabungan bunyi-bunyi dalam sesuatu bahasa yang mempunyai makna, digabungkan menjadi suku kata dan perkataan. Bidang tatabahasa mengkaji cara-cara perkataan itu terbentuk dan selanjutnya bagaimana (cara) perkataan itu bercantum membentuk frasa dan ayat.
Kajian tentang bidang tatabahasa dilakukan dari dua segi, iaitu cara perkataan itu dibentuk daripada bunyi bahasa dan cara perkataan itu disusun menjadi ayat.Contoh pembentukan kata ialah perbincangan tentang cara perkataan terbentuk melalui penggabungan awalan, akhiran dan apitan, manakala contoh pembentukan ayat ialah perbincangan tentang subjek dan predikat serta pola ayat. Bidang huraian pada peringkat perkataan dikenali sebagai morfologi manakala peringkat ayat dikenali sebagai sintaksis.Dengan perkataan lain, bidang tatabahasa terbahagi dua, iaitu morfologi dan sintaksis. 
1.2:  Morfologi
Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur kata, bentuk kata,dan penggolongan kata. Bentuk kata pula ialah sesuatu unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau dihasilkan melalui beberapa proses pembentukan kata seperti pengimbuhan dan penggandaan.
Contoh: bentuk kata tunggal - lancar, pengimbuhan - pelancaran,  pemajmukan - papan tanda, penggandaan - buku-buku.
Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan dalam sesuatu bahasa berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi perkataan lain dalam golongan yang sama. Perkataan dapat digolongkan kepada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.

PENILAIAN MAKRO PENGAJARAN


i) PENILAIAN MIKRO PENGAJARAN
Pengenalan
Saya telah mengadakan membuat penilaian terhadap rakaman pengajaran mikro dalam langkah pengukuhan untuk mengukuh pengenalan murid-murid terhadap bahan-bahan yang digunakan untuk bersuci yang diajar dalam rakaman itu. Murid-murid tidak dibahagikan kepada kumpulan dan cara pengajaran adalah menyeluruh di dalam kelas. Langkah pengukuhan ini dijalankan dalam bentuk kumpulan iaitu aktiviti puzzle yang dapat mengabungkan gambar yang diberikan dalam masa yang paling singkat.

Kelemahan
  1. Tulisan saya di papan hitam tidak begitu jelas dan menyebabkan kumpulan di barisan belakang sukar  mengecam dan melihat perkataan-perkataan  yang diberikan.
  2. Arahan tidak jelas menyebabkan salah satu kumpulan tidak dapat mendengar arahan dengan jelas dan menyebabkan ada ahli kumpulantidak dapat menyiapkan tugasan awal. Kawalan kelas yang kurang juga dengan  jelas telah menimbulkan disiplin murid yang tidak baik.
  3. Saiz alat bantu mengajar adalah kurang memuaskan iaitu terlalu kecil. Contohnya gambar dan puzzle yang digunakan dalam aktiviti kumpulan bersaiz kecil dan ini menimbulkan kesempatan terhadap pelajar lain untuk membuat aktiviti lain. Ini adalah disebabkan murid kurang berminat dengan aktiviti tersebut.
  4. Bahasa yang digunakan oleh guru adalah bahasa yang dialeknya orang utara. Bahasa yang dipengaruhi oleh bahasa kedaerahan boleh menimbulkan masalah komunikasi di antara guru dan murid. Murid tidak faham tentang bahasa atau dialek yang digunakan oleh guru menyebabkan arahan tidak jelas. Ini akan menjejaskan murid kerana factor tidak faham akan kehendak arahan.
  5. Tumpuan guru hanya berada di depan kelas sahaja. Ini menyebabkab murid yang duduk di belakang kelas kurang memberi tumpuan terhadap  pengajaran dan arahan dan soalan guru. Kesan dari perkara ini sekiranya ada murid pemulihan maka ia akan menyebabkan murid tersebut ketinggalan dalam menerima arahan dan penjelasan.
Kekuatan
  1. Aktiviti puzzle telah menimbulkan minat belajar murid-murid. Perasaan ingin menang menyebabkan mereka berlumba-lumba untuk menyiapkan puzzle dan menulis dapatan yang mereka perolehi di papan putih.
  2. Semangat dan nilai bekerjasama yang diterapkan dalam aktiviti kumpulan telah diterapkan oleh guru tersebut. Semua ahli kumpulan bekerjasama untuk menyiapkan puzzle dan ini menimbulkan semangat berkeyakinan tinggi.
  3. Suara guru yang jelas menyebabkan  komunikasi di dalam kelas terjadi.
Cara memperbaiki
  1. Guru dicadangkan menggunakan kad imbasan untuk membekalkan ayat-ayat latihan kepada murid-murid. Tulisan kad imbasan yang lebih besar dan jelas akan menyenangkan murid-murid menjawab kehendak soalan.
  2. Arahan saya akan dirancang dengan lebih jelas, mudah difaham dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan murid-murid.
  3. Aktiviti set induksi lebih baik dirancang dengan  menggunakan aktiviti meneka agar dapat menjana minda murid dengan berkesan.
  4. Aktiviti kumpulan lebih baik dibentangkan di hadapan kelas mengikut kumpulan masing-masing dan ketua kumpulan berperanan sebagai pembentang.
KESIMPULAN
Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan menangani masalah yang dihadapi , guru perlu bekerja keras untuk menggalakkan murid-murid dalam kelas saya untuk bertutur dalam bahasa Melayu di dalam kelas. Galakan dan sokongan perlu diberi untuk mengikiskan perasaan malu di kalangan mereka untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Aktiviti bercerita juga akan saya jalankan untuk menambahkan minat mereka bertutur dalam bahasa Melayu.