Wednesday 9 January 2013

FUNGSI BAHASA MELAYU


Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa ilmu.
Bahasa ilmu adalah bahasa yang digunakan untuk mengungkap ilmu dan memiliki ciri-ciri yang tersendiri. Perkara 152 Perlembagaan Negara telah menjamin dan mengiktiraf bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu. Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai peneguhnya iaitu memberi halatuju kepada Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu apabila wujudnya Akta Pelajaran 1961. Antaranya menyebut mengenai peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dimana bahasa kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama dalam institusi pendidikan. Menurut ensiklopedia keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ialah peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti fizik, kimia, kejuruteraan, perubatan, ekonomi, undang-undang, kesusasteraan, dan agama. Bahasa ilmu ialah bahasa yang mampu menjadi perantaraan bagi penyampaian ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat tinggi. Bahasa Melayu harus boleh berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal baru dalam aneka bidang ilmu moden. Ciri-ciri yang terdapat dalam Bahasa Melayu itu yang menjadikannya sebagai bahasa wahana ilmu kerana kemantapan yang ada memudahkan ia menyerap pelbagai budaya ilmu.. Oleh yang demikian, Bahasa Melayu mampu merealisasikan gagasan 1Malaysia melalui bahasa yang boleh membawa kemajuan dengan semangat semua kaum bersama-sama berusaha dan berjaya.
Di dalam institusi pendidikan pula, Bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam membentuk insan yang cemerlang dan ada jati diri sebagai rakyat Malaysia yang berbudi bahasa, bersopan-santun serta saling hormat-menghormati dengan tidak hanya berkomunikasi bersama satu-satu kaum tertentu sahaja. Ini sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang dirancang bagi mewujudkan rasa hormat-menghormati antara semua kaum termasuk menghormati adat resam serta budaya kaum lain. Rasa hormat ini juga menuntut kita tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentang kaum lain dan juga tidak mempersoalkan mana-mana peruntukan undang-undang yang menyentuh sensitiviti kaum. 

No comments:

Post a Comment